Projek Borneo Pulau Bersejarah Kali Ke-2 : Meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sejarah Borneo




Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





BERAKAS, Sabtu, 27 Jun. - Pusat Sejarah Brunei (PSB) melalui Bahagian Pusat Pengkajian Borneo (penBORNEO) menganjurkan Projek Borneo Pulau Bersejarah Kali Ke-2 bertemakan 'Selami Sejarah Borneo' yang berlangsung selama dua hari pada 27 dan 28 Jun 2026.


Pelaksanaan projek berkenaan adalah sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh dan memperkembangkan lagi peranan PSB dalam memelihara, mengkaji dan menyebarluaskan pengetahuan berkaitan sejarah Borneo.


Menerusi projek berkenaan, ia juga dihasratkan untuk memperkenal serta memperluas lagi jangkauan penBORNEO sebagai sebuah pusat rujukan dan pengkajian sejarah Borneo, di samping menyediakan platform perkongsian ilmu berkaitan sejarah, warisan, budaya serta perkembangan tamadun Melayu di rantau ini.


Projek berkenaan turut diselajurkan dengan Majlis Perasmian Galeri Pameran penBORNEO dan Pameran Peta-Peta Borneo yang berlangsung tadi pagi.


Galeri Pameran penBORNEO mengetengahkan tentang peranan, perkhidmatan, usaha dan pencapaian bahagian berkenaan dari sejak ia ditubuhkan, manakala Pameran Peta-Peta Borneo pula memperkenalkan peta-peta yang jarang dan sukar ditemui yang lazimnya dijadikan sebagai sumber rujukan sejarah yang bernilai tinggi dalam memahami perkembangan sejarah, geografi dan peradaban Pulau Borneo.


Perasmian Galeri Pameran penBORNEO dan Pameran Peta-Peta Borneo berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, selaku tetamu kehormat majlis.


Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Encik Abdul Munir Lutfi bin Said; Head of Chancery, Pengarah Hal Ehwal Sosial dan Budaya merangkap wakil dari Kedutaan Besar Republik Indonesia, Agus Buana; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan daripada sektor kerajaan dan swasta; para ahli akademik dan mahasiswa dan mahasiswi institusi-institusi pengajian tinggi.


Projek berkenaan diserikan dengan Program Ceramah Sejarah Borneo bagi Siri Ke-14 yang menampilkan dua ahli panel berpengalaman, iaitu mantan Timbalan Pengetua PSB, Dr. Awang Haji Abdul Karim bin Haji Abdul Rahman, yang merupakan seorang sejarawan, penyelidik dan penulis prolifik.


Manakala panel kedua pula ialah Penolong Profesor di Institute of Asian Studies, Universiti Brunei Darussalam, Dr. Chun Sheng Goh, yang merupakan seorang penyelidik aktif dalam bidang pembangunan lestari di Borneo khususnya berkaitan dengan penggunaan tanah, tenaga, kawasan sempadan dan identiti.


Penganjuran program berkenaan diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sejarah Borneo, memupuk penghargaan terhadap warisan budaya, serta memperkukuh jati diri generasi akan datang.


Program berkenaan juga menjadi wadah perkongsian ilmu yang berperanan dalam usaha memelihara dan melestarikan khazanah sejarah seiring dengan perkembangan tamadun di rantau Borneo terutama dalam kalangan golongan belia, pengkaji dan pencinta sejarah.


Close